Monday, September 27, 2010

Five Malaysian Women Filmmaker On Love Sex & Desire.

Seksualiti Merdeka 2010 presents
HERSTORY FILMS PROJECT: LOVE, SEX & DESIRE
Film Screening
Presented by HerStory Films Project

Thu 14 Oct, 8pm, The Annexe Gallery
Admission Free

Presenting five stories about love, sex and desire, as told by Malaysian women, and transformed into short films by writer-poet-photographer Bernice Chauly, filmmaker Crystal Woo, HerStory co-founder and filmmaker Mien.Ly, thespian Mislina Mustaffa, and film star Sharifah Amani in her directorial debut. The screening will be emceed by TV host Sarimah Ibrahim.




Tuesday, September 21, 2010

King Kong Punya Budaya & Filem King Kong

Untuk dikongsi. nak baca ke tidak. itu terpulang.

Kehidupan dunia moden semakin mengasak kita. Mata kita akan terus dikelilingi oleh imej, gambar, ikon, logo atau papan-papan tanda. Kota-kota kita berselirat dengan papan tanda dan papan iklan. Ada pelbagai imej yang terpaksa kita hadapi. Ada papan iklan yang didirikan sehinggakan anak mata kita tidak dapat mengelak melainkan memandang atau membaca iklan tersebut. Semua imej-imej ini membawa semiotik - tanda dan makna.


hari ini imej iklan yang bergerak telah juga dipasang di persimpangan jalan. Telah wujud papan iklan seperti layar putih yang luas terpampang di persimpangan jalan. Papan sebegini ditujukan untuk pemandu yang akan berhenti semasa lampu isyarat menjadi merah. Para pemandu tidak dapat tidak akan “dipaksa” memandang iklan-iklan ini. Mungkin untuk para pengiklan mereka menganggap diri mereka bijak tetapi untuk saya memasang iklan di persimpangan jalan ini samalah seperti seorang peniaga Bumiputera menerima “pink form” – hanya menunggu untuk mendapat untung tanpa berfikir banyak.

papan-papan iklan yang terpampang semakin bertambah besar dan kelihatan bersepah-sepah terutama di pusat kota. Kini iklan bukan hanya dipasang di persimpangan jalan malah di dinding-dinding kedai papan iklan terpampang sehinggakan kedai-kedai ini hilang ditutupi oleh papan iklan. Hasilnya kota kita Kuala Lumpur yang telah tidak teratur semakin kelihatan berserabut.

ada satu perkara yang saya perhatikan tentang iklan-iklan ini. Saya ingin berkongsi sama tentang apa yang saya perhatikan ini. Perkara yang ingin saya timbulkan ialah tanda dan makna yang dibawa oleh wajah atau imej-imej dalam iklan-iklan yang semakin berselerak ini. Contoh yang paling jelas ialah di persimpangan jalan di hadapan Dewan Bahasa Pustaka dan di pinggir padang Victoria Institution.

papan iklan ini cukup besar. Gambar wajah dalam iklan cukup jelas tetapi apa benda produk yang ingin dijual kelihatan tidak tentu hala. Mungkin ini iklan untuk satu jenama sabun atau jenama alat pencuci tandas. Yang luas terbentang ialah wajah anak-anak muda Mat Salleh – lelaki dan perempuan. Wajah-wajah Mat Salleh yang memberahikan ini terpampang besar. Lalu saya timbulkan persoalan kenapa menggunakan wajah Mat Salleh untuk alat pencuci tandas?

bila persoalan ini timbul maka kita wajib memahami ideologi - tanda dan makna - yang sedang disebarkan oleh si pembuat iklan ini. Iklan ini dibuat hasil kerja individu atau syarikat iklan tempatan yang pemikiran mereka masih lagi dijajah. Mereka ini adalah hasil pengalaman pembudayaan pasca kolonial. Ketika Tanah Melayu di jajah dahulu, Mat Salleh telah menjadi tuan kepada kita. Bila keadaan politik berubah, Mat Salleh penjajah ini akhirnya meninggalkan Tanah Melayu dan Malaya menjadi merdeka. Tetapi kuasa penjajah ini telah berjaya membentuk satu ruang pemikiran di mana apa sahaja yang berkaitan dengan Mat Salleh akan dianggap baik. Iklan-iklan ini bergerak dalam sejarah budaya ini.

justeru, wajah-wajah Mat Salleh yang digunakan untuk menjual serbuk pencuci tandas memberi makna bahawa jenama pencuci tandas ini adalah baik. Wajah Mat Salleh yang diletakkan berhampiran dengan alat pencuci tandas menjadi tanda bukti bahawa produk ini cukup unggul. Kalau produk ini “cekai” pasti si Mat Salleh yang memberahikan ini tidak akan duduk di sebelahnya.

saya memberikan nama baru untuk budaya ini - budaya King Kong. Untuk memahami apakah itu budaya King Kong maka kita wajib membuat rujukan kepada naratif filem King Kong yang pernah ditayangkan dulu. King Kong dalam filem ini berasal usul dari Pulau Borneo – ertinya King Kong datang dari wilayah kita. King Kong ini berbadan tegap, besar dan tinggi. King Kong yang berkulit hitam ini juga memiliki tenaga yang amat luar biasa. Sayangnya hidung King Kong ini kemek dan tidak mancung.

dalam filem ini si King Kong selalu mengharu-birukan dan mengacau penduduk tempatan. Untuk memenangi hati King Kong ,orang-orang kampung telah memberikan anak dara sebagai upahan agar dia tidak mengganas. Tetapi King Kong terus juga mengganas dan mengganggu kehidupan orang kampung.

keadaan berubah apabila satu kumpulan Mat Salleh dari Amerika datang ke Borneo untuk membuat penggambaran sebuah filem. Kumpulan Mat Salleh ini telah sampai ke kampung King Kong. Orang-orang kampung telah menangkap seorang perempuan Mat Salleh dan dihadiahkan kepada King Kong. Si Perempuan ini ialah pelakon utama dalam filem yang sedang dibuat ini. Bila King Kong menerima perempuan Mat Salleh semuanya berubah.

secara tiba-tiba King Kong yang berkulit hitam, berhidung kemek dan gagah perkasa telah dapat dipermain-mainkan oleh seorang perempuan Mat Salleh berambut “blonde”. Dengan hanya meloncat dan menari-nari si “blonde” ini telah dapat menawan berahi si King Kong. Maka filem King Kong ini beralih untuk menjadi naratif cinta tiga segi. Tiga segi kerana si Minah Mat Salleh ini juga sedang dicintai oleh seorang penulis Mat Salleh yang datang bersama dari Amerika.

cuba bayangkan berapa ramai gadis-gadis tempatan yang telah dihadiahkan oleh orang kampung kepada King Kong. Gadis-gadis tempatan berkulit hitam ini bukan sahaja telah dibunuh tetapi mereka telah juga dijadikan bahan makanan oleh King Kong. Apabila King Kong berhadapan dengan gadis Mat Salleh berambut “blonde” tiba-tiba King Kong menjadi lemah dan bodoh.

persoalan timbul, kenapa King Kong tidak jatuh cinta dengan gadis tempatan? Kenapa gadis tempatan dibunuh? Inilah yang saya dipanggil budaya King Kong – budaya yang senang dipengaruhi oleh apa sahaja yang berbentuk Mat Salleh. Budaya King Kong akan melihat produk tempatan – jam, radio, kereta, termasuk gadisnya atau apa sahaja – tidak cantik dan tidak menarik seperti produk Mat Salleh.

pemilik budaya King Kong ini tidak memiliki budaya jati diri yang kukuh. Mereka akan merasa kecil diri jika mereka tidak berasosiasi rapat atau dikelilingi oleh dengan benda-benda produk Mat Salleh. Barang-barang buatan tempatan dilihat tidak bermutu, kokak dan dipandang rendah.

untuk saya King Kong juga adalah “sarong party boy”. “Sarong party boy” ini adalah konsep di mana lelaki Asia yang berkulit hitam akan menolak gadis tempatan kerana mereka gilakan gadis-gadis Mat Salleh. Di Kuala Lumpur sarong party boy atau sarong party girl selalu dilihat berpeleseran di kalangan komuniti “ex-pat Eropah” yang bekerja di negara kita. Mereka ini samalah seperti King Kong di mana berahi sekualiti mereka telah dijajah oleh Minah atau Mamat Mat Salleh.

dari segi ilmiah budaya King Kong adalah salah satu bentuk budaya pasca kolonial. Dalam budaya pasca kolonial fikrah warga negara bekas tanah jajahan masih lagi terjajah. Mereka belum dapat membebaskan diri mereka dari dipagari oleh rupa bentuk Mat Salleh. Penjajahan ini dapat diteruskan melalui berahi seksualiti. Jika berahi seksualiti mereka telah dijajah maka fikrah mereka akan turut sama terjajah.

teknik berahi seksualiti inilah yang telah dapat menundukkan King Kong yang gagah perkasa. King Kong ditundukkan oleh “dumb blonde” dari Amerika. Justeru jika hari ini kita melihat gambar wajah Mat Salleh terpampang sebagai tanda iklan maka sedarilah bahawa pengiklan ini sedang cuba menjadikan kita “sarong party boy/girl”. Iklan-iklan dipaparkan untuk menjajah berahi seksualiti kita. Iklan-iklan ini ingin menjadikan kita hilang jati diri. Iklan ini mahukan kita sangsi terhadap budaya dan produk tempatan. Akhirnya kita menjadi lemah mandul dan dipermain-mainkan untuk menjadi sekor beruk seperti King Kong.

Thursday, September 16, 2010

Singapore Rebel



Singapore Rebel - Documentary on an opposition politician in Singapore: This is the film Singapores censorship board doesnt want people to see. Its the story of opposition politician Chee Soon Juan, who has been imprisoned twice for championing democratic change in the city state. The censors declared it a party political film and it was pulled from last months Singapore International Film Festival line-up after the director was warned he could face two years in jail if the screening went ahead.

Friday, September 10, 2010

Hishamuddin Rais : Hari Raya & Tuhan Baru Di Hari Raya


Aku sekadar mahu berkongsi tulisan isham rais sempena hari raya. kau nak baca tak nak baca aku tak kisah.

kita selalu mendengar cakap-cakap yang mengatakan bahawa hari raya adalah untuk anak-anak. memang ada benarnya cakap-cakap ini. perhatikanlah di hari-hari perayaan sama ada tahun baru cina, deepavali atau hari krismas - anak-anaklah yang paling sibuk berpesta. hari raya ni pun sama, anak-anak walaupun tidak melakukan ibadah puasa, tetapi merekalah yang paling sibuk bergembira ke hulu ke hilir.

untuk orang dewasa yang berkeluarga pastilah persediaan untuk menyambut hari-hari perayaan ini cukup menyibukkan. wajib membeli kasut, pakaian dan persalinan baru untuk anak-anak. rumah wajib dihiasi. mungkin langsir yang telah luntur warna dimakan cahaya matahari perlu ditukar. perabot-perabot lama perlu diganti. kuih muih perlu dibuat atau dibeli. sibuk seribu macam sibuk.

saya selalu memikirkan apa yang menjadikan kita semua menjadi sibuk tak tentu hala seminggu atau 2 minggu sebelum hari raya. atau sebenarnya kesibukan itu adalah sebahagian usaha-usaha orang dewasa untuk membawa kembali suasana berhari raya. kita sengaja turun membeli belah di hari-hari akhir sebelum perayaan agar kita dapat meneruskan magik hari perayaan ini.

saya telah memilih untuk hidup membujang maka saya tidaklah berhadapan dengan kesibukan di saat-saat akhir untuk berhari raya. walaupun saya tidak sibuk membeli belah untuk keluarga tetapi saya masih lagi ingin menjadi salah seorang yang menyibuk di pusat bandar. tahun ini 2 hari sebelum berhari raya saya telah turun ke jalan masjid india dan batu road. saya tidak bertujuan membeli apa-apa. tujuan saya hanya untuk meramaikan dan membuat sibuk dalam usaha saya mencari suasana magik hari raya.

saya seronok melihat orang ramai yang mundar-mandir tercari-cari dan tertanya-tanya. ibu membimbit tangan anak-anak yang ingin mengambil apa saja yang ada di dalam kedai. anak-anak muda memikul kotak-kotak kasut yang baru dibeli. anak-anak gadis mengepit bungkusan selendang baru. dan yang paling seronok ialah melihat si bapa yang cukup keletihan mengikut kerenah isteri dan anak-anak yang berpindah-pindah dari satu kedai ke satu kedai mencari sesuatu yang belum mereka temui.

seperti perayaan dan hari kebesaran agama lain juga, hari raya orang melayu telah memasuki zaman modeniti. atau lebih tepat semua hari perayaan kita telah masuk ke dalam jaringan budaya konsumer. modeniti yang menjanjikan kecerahan pemikiran manusia kini saya lihat semakin membawa kegelapan. mungkin kerana inilah maka jean paul satre, ahli falsafah perancis telah menyindir modeniti yang sedang menyelubungi eropah. rasa saya modeniti dan budaya konsumer telah berperanan memudarkan magik kekudusan hari raya.

dalam kemodenan yang dihadapi, saya masih lagi ingin mencari, melihat dan mengalami magik kekudusan hari raya. mungkin ada orang bandar yang beranggapan bahawa magik hari raya ini masih tersimpan di kampung-kampung. lebih jauh kampung itu dari bandar mungkin lebih besar magik hari raya itu. saya juga pernah menyimpan anggapan yang sama. sebenarnya anggapan saya ini telah lama hancur. di kota atau di kampung magik hari raya ini semakin pudar.

setiap tahun, saya adalah di antara ribuan warga kota yang akan berpusu-pusu untuk pulang ke kampung. saya akan meninggalkan kesibukan kota dalam usaha mencari ambiance spiritual hari raya. tahun ini juga saya telah pulang ke kampung. dan tahun ini juga semakin saya rasakan perubahan yang telah memudarkan magik hari raya.

budaya konsumer telah begitu mengampuh dan berjaya menjaringi kesemua pelosok tanah air kita. tidak ada lagi kawasan, daerah, wilayah atau kampung yang bebas dari pengaruh budaya ini. budaya konsumer ini telah dan sedang membawa tanda-tanda baru. dan yang paling menyedihkan hati saya apabila melihat bagaimana budaya konsumer ini telah berjaya membawa roh dan agama yang baru pula.

budaya agama konsumer ini sedang bertuhankan peti tv. saya berani berkata demikian kerana di setiap rumah yang saya lawati 'tuhan baru' dari budaya konsumer ini terus mengekori saya. ke mana-mana saja saya bergerak tuhan baru ini terus bersuara dan berbunyi. di setiap rumah yang saya masuki saya lihat tuhan baru ini sedang terpasang dan dikerumuni oleh pengikut-pengikut yang sujud setia.

saya menaikkan taraf tv ini kepada taraf 'tuhan baru' bukan kerana saya ingin mempermain-mainkan agama. ini bukan niat saya. saya memiliki niat suci pulang ke kampung untuk mencari kekudusan dan magik berhari raya. sayang sekali saya hanya terserempak dengan peti tv yang saya anggap telah menjadi 'tuhan baru' orang melayu.

kalau tidak percaya cubalah pergi berhari raya tahun hadapan. perhatikan bagaimana kaca tv diruang tamu di rumah-rumah orang melayu tidak pernah dipadamkan. peti tv - 'tuhan baru - ini terus menerus hidup terpasang. dan perhatikan di hadapan 'tuhan baru' ini pasti akan kelihatan tiga empat orang pengikutnya sedang khusyuk menonton. jangan terperanjat, mungkin ada pula tuan rumah yang merasa kesampaian tetamu pada hari raya akan dianggap satu gangguan kerana 'tuhan baru' mereka sedang berkhutbah dengan satu rancangan yang menarik.

pernah saya duduk di ruang tamu yang dipenuhi oleh sanak-saudara yang berhari raya tetapi tidak ramai yang turut sama berlabun. ketika saya bersuara kuat, ada pula jelingan mata yang meminta agar suhu suara perbualan saya dikurangkan. suara manusia yang hidup dianggap menganggu bunyi suara digital dari 'tuhan baru' yang sedang berkhutbah.

saya tidak tahu bagaimana pula kedudukan peti tv dalam budaya bangsa-bangsa lain di malaysia ini. tetapi di england tempat asal-usul kelahiran 'tuhan baru' ini sambutan masyarakat di sana amat berlainan. di hari perayaan, 'tuhan baru' ini telah diharamkan untuk mendirikan kuil, masjid atau gereja di ruang tamu. peti tv akan di alih dan dimasukkan ke dalam stor. 'tuhan baru' ciptaan modeniti ini diketepikan. manusia lebih dihormati dari peti tv. malah, masih ramai yang tidak memiliki atau mahu melihat atau mendengar suara dari 'tuhan baru' ini - terutama dari golongan ilmuwan dan para intelektual kota london.

bagaimana agaknya peti tv ini telah disambut baik menjadi 'tuhan baru' orang melayu tidak dapat saya fahami secara mendalam dan ilmiah. saya bukan ahli sosiologis. budaya melawat rumah ke rumah ini untuk saya adalah satu yang kudus dalam budaya berhari raya. tetapi kemunculan 'tuhan baru' ini telah mengganggu dan memudarkan suasana kudus hari raya.

saya masih ingin mencari magik hari raya kerana itu saya sering berangan-angan untuk mencadangkan kepada semua orang melayu agar pada tahun hadapan semasa berhari raya, 'tuhan baru' ini akan dikuburkan selama 3 hari. bila 'tuhan baru' telah dikuburkan barulah kita berpeluang mendengari suara kita sesama kita sendiri. suara manusia yang sedang berlabun dan bergelak ketawa menyambut magik hari raya. mari kita membuka mata dan telinga sambil berbual-bual mesra melihat kembali ibadah kebaikan yang telah kita lakukan selama satu tahun ini.

untuk saya, magik hari raya masih wujud dalam diri kita walaupun kita telah mendewasa. jiwa anak-anak yang hidup bebas ini tidak pernah luntur-luntur dalam diri kita. modeniti dan budaya konsumer akan cuba menimbus jiwa itu. 'tuhan baru' yang hanya pandai bermonolog itu akan terus berkhutbah untuk memudarkan magik dan semangat kemanusiaan yang ingin kita rayakan di pagi hari raya.

humbankan saja 'tuhan baru' itu ke dalam stor!!.

Tuesday, September 7, 2010

Rusuhan Kaum Di Batu Kikir


Ketika menghadiri Say Sorry Day Campaign di Annexe pada 4 september yang lepas isham rais ada menyentuh sedikit mengenai rusuhan kaum yang berlaku di batu kikir, dimana tragedi ini tidak semua masyarakat malaysia tahu, ini kerana tragedi ini telah dihapuskan dalam buku teks dan telah disembunyikan oleh pihak kerajaan pemerintah iaitu united malays national organisation. disini aku nak berkongsi sedikit tentang tragedi rusuhan batu kikir yang aku jumpa dalam buku memoir abdullah c.d. (bahagian pertama, zaman pergerakan sehingga 1948)

Satu peristiwa pembunuhan yang bersifat perkauman telah berlaku di Batu Kikir, Negeri Sembilan pada bulan Jun 1945. Peristiwa itu berlaku ketika saya bertugas di bahagian propaganda parti Negeri Perak di Ipoh. Peristiwa itu dimaklumkan secara rasmi oleh organisasi PKM kepada saya dan kawan-kawan lain.

Kemudian pada tahun 1946, ketika saya diberi tugas sebagai wakil PKM bahagian Melayu untuk kawasan Selatan dan juga memimpin organisasi JKM kawasan itu, saya secara khusus pergi ke Negeri Sembilan termasuk ke Batu Kikir.

Satu soal penting yang saya titik beratkan dan ingin mencari jawapannya ialah mengapakah timbulnya peristiwa pembunuhan di Batu Kikir yang seolah-olah merupakan satu gerakan orang Melayu menentang PKM dan TAJRM, sedangkan mereka aktif menyokong Perang Anti-Jepun bahkan menjadi sandaran penting Perang Anti-Jepun. Untuk mendapatkan jawapan yang pasti berkenaan masalah ini, saya pergi mencari organisasi PKM dan menemui orang ramai di kawasan berkenaan. Zahid dan beberapa orang kader Melayu di situ memberi bantuan besar dalam usaha ini. Zahid sendiri pernah ambil bahagian dalam gerakan mendamaikan hubungan antara orang Melayu dan orang Tionghua di situ dan memulihkan perasaan muhibah mereka.

Ketika peristiwa pembunuhan itu berlaku, penanggungjawab bahagian stet PKM Negeri Sembilan ialah seorang kawan seperjuangan saya, Ah Chen namanya atau di kalangan kawan-kawan Rejimen Ke-10 dikenali dengan nama Kawan Jasa. Kemudiannya saya bersama-sama beliau bertugas dalam JKP PKM. Selain daripada Zahid, Jasa juga banyak menceritakan berkenaan peristiwa pembunuhan kaum tersebut. Beliau pernah menulis kenang-kenangannya dalam buku Siri Perjuangan Anti-Jepun dan diterbitkan oleh Pejabat Suara Demokrasi pada 1 Februari 1982.

Daripada penyiasatan itu, saya membuat kesimpulan bahawa peristiwa itu berlaku kerana hasutan penjajah British yang mahu bertapak semula di Malaya dan mahu melemahkan kekuatan progresif yang diwakili PKM; manakala peristiwa itu pula dilakukan oleh segelintir orang Melayu yang terpedaya oleh hasutan penjajah. Menghasut sentimen permusuhan antara kaum adalah strategi penting dan senjata paling berkesan penjajah British untuk melemahkan kekuatan rakyat.

Kerana perkembangan perjuangan anti-Jepun yang menggelora baik di hutan, di kampung-kampung dan di bandar-bandar yang telah disebutkan di atas, kaum penjajah iaitu Jepun dan British amat tidak senang hati. Mengikut maklumat yang diberikan orang ramai, pada bulan Mac 1942 fasis Jepun telah mencetuskan tragedi Jeludung. Dalam tragedi tersebut, Jepun membuat dalih meminta orang ramai pergi mengambil kad pendaftaran di Titi kemudian askar Jepun telah mengatur kepungan dari empat jurusan. Mereka membunuh sesiapa sahaja yang mereka jumpai. Kira-kira seribu orang massa rakyat telah dibunuh dan seratus orang lebih cedera. Peristiwa ini jelas menunjukkan bahawa fasis Jepun cuba menundukkan orang ramai daripada menyokong gerakan anti-Jepun dengan cara pembunuhan beramai-ramai. Akan tetapi, di sebalik tindakannya itu orang ramai lebih teguh lagi menyokong gerakan anti-Jepun.

Sehingga penghujung tahun 1945, gerakan anti-Jepun berkembang di Negeri Sembilan. Ketika itu penjajah British pula yang ingin berkuasa semula di Malaya telah menimbulkan pembunuhan kaum di Batu Kikir. Kawasan Batu Kikir adalah basis anti-Jepun yang kukuh. Rakyat berbagai-bagai kaum di situ saling bekerja sama menyokong Perang Anti-Jepun. Di kampung-kampung di kawasan tersebut didirikan berbagai-bagai organisasi anti-Jepun seperti Liga Anti-Jepun, lasykar rakyat dan lain-lain.

Mengikut maklumat dari organisasi anti-Jepun dan orang ramai, pada akhir bulan Jun 1945, pegawai-pegawai penghubung tentera berikat iaitu Pasukan Gerila 136 British telah menggugurkan sejumlah senjata kepada pasukan-pasukan TAJRM. Seorang pegawai penghubung British untuk kawasan Negeri Sembilan bernama Lt. Kol. C.H. Fenner telah dihantar ke dalam pasukan TAJRM untuk bekerjasama menentang fasis Jepun.

Akan tetapi, penjajah British mempunyai niat yang terselindung. Selain cuba mengontrol pasukan gerila TAJRM, C.H. Fenner didapati selalu pergi ke Jempul, Tanjung Ipoh dan lain-lain. Tujuannya adalah untuk menemui anasir-anasir yang boleh dipengaruhinya untuk menjalankan propaganda anti-komunis dan mengapi-apikan sentimen perkauman di kalangan rakyat berbagai-bagai kaum khasnya antara Melayu dengan Tionghua.

Apabila Jepun menyerah kalah, pasukan-pasukan TAJRM segera beredar ke pekan-pekan dan bandar-bandar untuk mengawal keselamatan orang ramai. Pada masa ini jugalah penjajah British menghantar pegawai-pegawai perisik dan tenteranya serta satu pasukan India Muslim dari India ke Negeri Sembilan. Mereka masuk ke kampung-kampung Melayu untuk menjalankan hasutan anti-komunis dan anti-Tionghua.

Untuk meruncingkan lagi keadaan, pihak British secara sembunyi mengarahkan seorang agennya, orang Tionghua, menyembelih seekor babi dan mencampakkannya ke dalam sebuah masjid di kampung dekat Batu Kikir. Sebaik sahaja hari cerah, berita itu pun segera tersebar. Orang Melayu merasa amat marah di atas perbuatan yang merupakan satu pencemaran ke atas agama Islam dan penghinaan kepada orang Melayu. Maka sekumpulan anggota parang panjang dari Juasih menyerbu ke sebuah kampung Tionghua di Batu Kikir. Kerana menyangkakan orang Tionghua menghina agama Islam dan bangsa Melayu, mereka memarang semua orang yang mereka jumpai, tidak kira tua, muda, lelaki, wanita dan kanak-kanak.

Ketika kejadian tersebut berlaku, di situ hanya terdapat enam orang perajurit TAJRM mengawal keselamatan orang ramai. Melihat keadaan itu, mereka cuba menasihati dan menghalang anggota parang panjang supaya berhenti melakukan pembunuhan. Akan tetapi dua di antara enam orang perajurit tadi telah tercedera ditetak oleh anggota parang panjang. Kerana keadaan yang amat kemelut ini, mereka terpaksa melepaskan tembakan dan mengundurkan kumpulan parang panjang tersebut.

Peristiwa itu tidak selesai setakat itu sahaja, penjajah British masih berusaha memanjangkan peristiwa tersebut. Pegawai tentera British pura-pura bersimpati dengan perajurit-perajurit dan massa yang cedera dengan menghantar kereta konon untuk membantu membawa mereka ke hospital bagi mendapatkan rawatan. Setiba kereta tersebut di pekan Batu Kikir, pihak British sengaja memberhentikan kereta di hadapan sekumpulan anggota parang panjang dan membiarkan kumpulan itu mengheret orang-orang yang tercedera di dalam kereta itu keluar dan di cincang di situ juga.

Setelah peristiwa itu, berbagai-bagai organisasi politik seperti pejabat PKM Wilayah Negeri Sembilan, kesatuan buruh, kesatuan tani, liga pemuda, persatuan wanita dan lain-lain pertubuhan kebudayaan telah mengadakan sidang tergempar bersama mengutuk komplot penjajah British yang sengaja melaga-lagakan antara kaum itu dan membiarkan dua orang perajurit TAJRM dan orang ramai yang tercedera itu di cincang hidup-hidup.

Pak Sutan Djenain dan Zahid segera datang ke pejabat PKM menemui penanggungjawab Jawatankuasa Parti Wilayah Negeri Sembilan menuntut pihak PKM supaya segera membuat bantahan ke atas tindakan British itu. Kemudian berbagai-bagai pertubuhan yang disebut di atas mengadakan sidang secara berasingan, mengadakan perhimpunan massa mendedahkan tipu muslihat British dan menyeru orang ramai berbilang kaum supaya jangan termakan tipu helah penjajah dan mesti terus mempereratkan perpaduan antara kaum.

Dalam satu rapat umum di Kuala Pilah, veteran revolusi Indonesia Pak Sutan Djenain telah membuat ucapan berapi-api dan mendedahkan komplot keji penjajah British tersebut. Beliau menyeru orang ramai bersatu padu melawan polisi pemecah-belahan kaum oleh penjajah British. Selain daripada itu, wakil Melayu dari Liga Anti-Jepun juga membuat ucapan menyeru orang ramai bersatu dan sekali-kali jangan termakan hasutan penjajah. Pidato para wakil itu mendapat sambutan hangat daripada rakyat pelbagai kaum khasnya orang Melayu dan Tionghua.

Selain daripada itu, pihak TAJRM juga menyatakan sikapnya yang tegas kepada penjajah British bahawa kalau peristiwa sedemikian berlaku lagi, maka pihak British haruslah memikul segala akibat dan tanggungjawabnya.

Terdorong oleh suasana muhibah sama-sama menentang komplot melaga-lagakan antara kaum itu, banyak kampung Tionghua dan Melayu yang berjiran menandatangani perjanjian kerukunan bersama. Komplotan jahat penjajah British itu berjaya dihentikan berkat usaha bersama pertubuhan dan rakyat pelbagai kaum.

Saturday, September 4, 2010

Yong Vui Kong Wajib Mati?


anak muda Sabah Yong Vui Kong telah dijatuhkan hukuman mati di Singapura kerana mengedar dadah. dari kaca mata Singapura yang tegas dalam penguatkuasaan undang-undangnya, Yong Vui Kong adalah pemangsa. Tetapi bukankah Yong merupakan mangsa daripada sistem pendidikan yang gagal, kehancuran institusi negara dan kemiskinan masyarakat?

lebih-lebih lagi, Yong hanya seorang remaja yang usianya belum genap 18 tahun semasa kejadian ini berlaku. apa yang menimpa ke atas dirinya menggagalkannya untuk membezakan antara garis yang hitam dengan yang putih. kini, beliau telah insaf setelah menganuti Buddha, apakah tiada ruang untuk perikemanusiaan dalam undang-undang yang tegas?

apakah ia disebabkan Singapura antara negara yang paling bersih dari rasuah? kerana ramai bakat Malaysia yang diserap ke negara itu, kerana dasar di Singapura yang kelihatan adil, malah dapat menonjolkan politik perkauman di Malaysia, maka masyarakat Cina cenderung untuk mempercayai bahawa sistem kehakiman di situ adalah adil, dan kerajaan Singapura melayan semua pesalah yang dihukum mati dengan saksama.

tetapi pandangan ini dicabar sekarang. setelah menelaah buku Once a Jolly Hangman:Singapore Justice in the Dock yang ditulis Alan Shadrake, kita terpaksa menilai semula sistem kehakiman Singapura.

jikalau dikatakan tiada diskriminasi warna kulit ketika kerajaan Singapura menguatkuasakan undang-undang, maka amatlah sukar untuk kita menjelaskan mengapa warga Singapura yang berketurunan India, Shanmugam Murugesu dijatuhkan hukuman mati, tetapi wanita Jerman, Julia Bohl yang juga dijatuhkan dengan hukuman sama, tidak perlu berdepan dengan tali gantung selepas tekanan daripada Jerman. hukuman penjara lima tahun-nya, berakhir dengan hanya tiga tahun.

lebih-lebih lagi, seorang warga UK Michael McRae terlibat dengan penjenayahan bunuh di Singapura, dan melarikan diri ke Australia, malah mengaku bersalah di Australia. Australia yang membantah hukuman mati enggan memberi kerjasama ketika Singapura cuba untuk mengekstradisi pesalah itu. akhirnya Singapura yang bangga dengan ketegasan penguatkuasaan undang-undangnya itu, terpaksa berganjak langkah untuk menjamin supaya tidak menjatuhkan hukuman keras ini. akhirnya, Michael McRae terlepas daripada hukuman mati, dan dijatuhkan hukuman penjara 24 tahun.

pada tahun 2005, pihak berkuasa Singapura telah membenarkan peguam Australia untuk bertemu dengan warga mereka yang dijatuhkan hukuman mati, tetapi dengan sengaja menundakan pemohonan peguam dari Malaysia, Ngeow Chow Ying untuk menemui Yong Vui Kong, minggu lalu.

secara individu, aku membantah hukuman mati. contoh-contoh di atas diketengahkan untuk menjelaskan bahawa biarpun betapa tegasnya penguatkuasaan undang-undang sebagaimana yang didakwa di Singapura, tetapi ianya juga memegang kepada dua kayu ukur (double standard), terutamanya apabila berdepan dengan negara yang lebih maju dari segi ekonominya.

saya cuma ingin bertanya, adakah kesalahan Yong Vui Kong lebih berat daripada kesalahan yang dilakukan Julia Bohl atau Michael McRae, sehingga Yong diwajibkan mati?

kalau kita gagal menyelamatkan Yong Vui Kong yang jahil kerana terlalu muda, apakah kerajaan, parti politik dan masyarakat sivil dapat memastikan bahawa kita tidak akan mempunyai lebih ramai Yong Vui Kong pada masa depan?

Friday, September 3, 2010

Akta Keselamatan Dalam Negeri (I.S.A) & Demokrasi.

Sebut sahaja perkataan ‘demokrasi’ dan ‘Malaysia’ dalam ayat yang sama, dan anda sudah pasti akan dihadapkan dengan isu Akta Keselamatan Dalam Negeri, yang lebih dikenali dengan namanya dalam Bahasa Inggeris, iaitu Internal Security Act (ISA). Tetapi apakah sebenarnya ISA, mengapakah ia dikatakan bertentangan dengan hak demokratik, dan apakah isu-isu yang menggarisi pengamalannya di Malaysia? Sememangnya,bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad telah menggunakan serangan-serangan pengganas di Amerika Syarikat pada 11hb September 2001 dan kegiatan pengganas yang lain untuk memunasabahkan pengamalan akta tersebut di Malaysia. Berhadapan dengan ini, ia menjadi sangat penting untuk memahami topik ini dengan terperinci.

pada dasarnya, ISA merupakan sesuatu akta drakonian lagi ketinggalan zaman yang sudah lama digunakan untuk “menutup kepincangan diri,” dalam kata-kata Nashir Hashim. Ia merupakan akta pencegah yang diluluskan pada awal tahun 1960-an, semasa zaman Kecemasan, sebagai cara sementara untuk mendiamkan pergolakan sosial dan kebangkitan pihak Komunis. Di bawah akta ini, pihak polis dapat menaham sesiapa selama 60 hari, tanpa waran tahanan dan tanpa keperluan orang itu dihadapkan dengan makhamah. Selepas tamatnya tempoh 60 hari itu, Menteri Dalam Negera dapat melanjutkan tempoh tahanan sehingga 2 tahun, tanpa memberikan apa-apa bukti kepada makhamah, dan ini dapat dilanjutkan lagi tanpa akhir. Sememangnya, akta ini sudah lama digunakan untuk mendiamkan tentangan terhadap kerajaan dan untuk mencabuli hak-hak asasi rakyat seperti hak berbicara, kebebasan daripada pemenjaraan rambang, dan hak berkumpul.

maka, tidak hairanlah bahawa akta ini seringkali menjadi sasaran kepada kritikan oleh kumpulan-kumpulan hak asasi manusia, biarpun di dalam atau di luar negara. Mengapa? Jawapannya sebenarnya bukan susah difahami – ISA mencabuli hak-hak asasi manusia, seperti yang dipertahankan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa bersatu. Pada tahun 2001, ISA juga telah dikutuk oleh laporan Human Rights Watch, iaitu penjamin hak asasi yang dihormati oleh masyarakat antarabangsa. Namun, pada masa yang sama, Mahathir telah mempertahankan penggunaan ISA, dengan alasan bahawa ia digunakan untuk menentang kumpulan-kumpulan pemberontak yang menentang keselamatan negara. Menurut Mahathir, demokrasi penuh tidak dapat berakar di Malaysia kerana rakyat akan berkelakuan ‘seperti monyet mendapat bunga’ – monyet itu tidak dapat menghargai bunga dan akan merosakkannya.

namun, retorik seperti ini – sebagaimana dengan retorik ‘nilai-nilai Asia’ – sudah lama berkumandang, dan kelemahan-kelemahannya dapat dilihat dengan jelas. Misalnya, mengapakah ISA seringkali juga digunakan untuk mendiamkan pembangkang politik, agama atau sosial? Jawapan kepada soalan ini akan menjadi jelas apabila kita mengkaji penggunaan ISA dengan lebih terperinci.

Menutup kepincangan diri

lebih kurang enam puluh tahun yang lalu, apabila Akta Keselamatan Dalam Negeri diluluskan, ia sebenarnya tertakluk kepada kajian semula makhamah. Namun, sejak itu, akta ini telah dipinda lebih 20 kali, dan tidak lagi perlu dipertimbangkan semula oleh makhamah. Dalam erti kata lain, kuasa mutlak telah diberikan kepada Kementerian Dalam Negera untuk menahan sesiapa yang dikatakan ‘mengancam keselamatan negara,’ tanpa rujukan kepada makhamah, tanpa rujukan kepada undang-undang antarabangsa.

kepalsuan alasan bahawa akta ini digunakan untuk menjaga keselamatan negara dapat dilihat jika kita mengkaji siapa yang ditahan di bawah akta ini. Sememangnya, segelintir daripada mereka ini merupakan ahli-ahli kumpulan pengganas. Namun, perkataan penting di sini adalah ‘segelintir.’ Majoriti besar daripada tahanan ISA merupakan mereka yang menentang politik pihak berkuasa, seperti pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli parti pembangkang, ahli-ahli akademi, ahli-ahli kesatuan pekerja, serta aktivis sosial, aktivis alam semulajadi dan aktivis hak perempuan.
kes tahanan bekas Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim di bawah ISA memang dikenali ramai – ISA telah digunakan untuk memenjarakan Anwar dan penyokong-penyokongnya semasa kebangkitan gerakan reformasi pada tahun 1997-1998 – tetapi akta ini juga telah digunakan untuk menindas rakyat lain yang menentang Mahathir. Misalnya, pada tahun 1990, beberapa ahli politik dari sebuah parti pembangkang di Sabah, iaitu Parti Bersatu Sabah (PBS), telah ditahan di bawah ISA kerana PBS dilihat sebagai cabaran utama kepada kemenangan Barisan Nasional dalam pilihanraya negeri itu. Akta ini juga pernah digunakan untuk menindas penganut agama yang bertentangan dengan agama ortodoks kerajaan –penganut-penganut agama Islam Shia merupakan satu contoh.
pada tahun 2001, ISA telah digunakan untuk melemahkan sebuah parti pembangkang, Keadilan, sebelum ulangtahun kedua pemenjaraan Anwar. Beberapa ahli parti tersebut, termasuk Timbalan Presiden Keadilan Tian Chua, dan seorang aktivis sosial, Hishamuddin Rais, ditahan di bawah akta itu. Pihak berkuasa telah mendakwa behawa sepuluh aktivis yang ditahan itu sedang berancang untuk menumbangkan kerajaan, walaupun tidak terdapatnya bukti untuk menyokong dakwaan ini. Pada bulan Julai dalam tahun yang sama, pihak berkuasa telah menahan dua orang aktivis pelajar, iaitu Khairul Anuar Ahmad Zainuddin dan Mohamad Fuad Mohamad Ikhwan, di bawah ISA. Parti-parti pembangkang yang lain juga telah menjadi sasaran kerajaan Barisan Nasional. Misalnya, pada bulan Ogos 2001, sepuluh orang yang berkaitan dengan atau menyokong Parti Se-Islam Malaysia (PAS) telah ditahan kerana dikatakan merupakan sebuah ‘kumpulan pengganas.’ Salah seorang daripada mereka merupakan Nik Adli Nik Aziz, anak kepada seorang pemimpin PAS.
beberapa hari selepas serangan 11hb September di Amerika Syarikat, Timbalan Perdana Menteri Abdullah Badawi telah memunabahkan kegunaan ISA sebagai “tindakan pencegah.” Beberapa minggu selepas itu, beberapa ahli ‘Kumpulan Mujahadin Malaysia’ atau KMM telah ditahan di bawah akta tersebut. PAS telah mendakwa bahawa tindakan tersebut merupakan ‘usaha politik’ dan mereka yang ditahan itu tidak dikaitkan dengan apa-apa bukti yang kukuh. Serangan-serangan ke atas demokrasi rakyat masih berterusan sehingga hari ini, dan telah mendadak dengan serangan-serangan pengganas di Indonesia dan Filipina baru-baru ini.
ISA bukan sahaja bercanggah dengan hak asasi manusia – malah, kumpulan-kumpulan seperti Amnesty International pernah mendakwa bahawa banduan-banduan di bawah ISA seringkali tertakluk kepada penyeksaan fizikal dan psikologi, termasuk serangan fizikal, ancaman terhadap ahli-ahli keluarga dan kekurangan masa rehat. Misalnya, semasa kes makhamah Anwar, pihak polis telah mengaku bahawa proses mendapat ‘pengakuan’ daripada banduan-banduan dengan pemaksaan merupakan perkara yang biasa.

Akta-akta penindasan yang lain


di samping Akta Keselamatan Dalam Negeri, kerajaan Barisan Nasional juga telah menggunakan akta-akta yang lain untuk menindas aktiviti politik damai, kebebasan akhbar dan kebebasan akademik. Misalnya, Akta Cetakan dan Penerbitan (Printing Presses and Publications Act) memerlukan kesemua penerbitan mendapat lesen cetakan tahunan, yang dapat ditarik balik tanpa sebab. Penerbitan-penerbitan luar negara tertakluk kepada penapisan tegas oleh Kementerian Dalam Negara, dan mana-mana terbitan yang dipercayai mengambil pendirian yang terlalu kritikal terhadap kerajaan dapat diharamkan sepenuhnya, secara yang berlaku dengan majalah Far Eastern Economic Review pada tahun 2001. Majalah Asiaweek juga mengalami takdir yang sama, kerana Mahathir mengatakan bahawa gambarnya dalam edisi majalah itu membuatnya kelihatan seperti “orang bodoh.” Maka, tidak menghairankan juga bahawa hampir kesemua akhbar aliran utama berada di bawah kawalan secara langsung parti-parti Barisan Nasional atau sekutu-sekutu Mahathir.


mereka yang menyokong akta-akta seperti ini seringkali mengatakan bahawa alam Internet tidak tertakluk kepada apa-apa penapisan atau cengkaman oleh kerajaan, dan maka menunjukkan kesetiaan kerajaan kepada hak-hak demokratik. kenyataan ini jelasnya adalah silap jika kita mengkaji usaha kerajaan untuk mendiamkan satu laman web, iaitu Malaysiakini. Semasa krisis ekonomi pada tahun 1997, pihak berkuasa telah mendakwa bahawa Malaysiakini telah menerima pembiayaan dari unsur-unsur luar negara, seperti George Soros (yang Mahathir berkata adalah bertanggungjawab bagi krisis ekonomi itu), tetapi dakwaan itu tidak pernah dibuktikan. Sepanjang tahun itu, laman web Malaysiakini diancam oleh dakwaan-dakwaan serupa, dan dikatakan akan dihadapkan dengan makhamah jika menerbitkan apa-apa rencana yang “mengancam ketenteraman negara.”

tetapi siapakah yang menentukan apa yang ‘mengancam ketenteraman negara’? Jawapannya adalah jelas jika kita melihat bahawa Marina Yusoff, bekas Timbalan Presiden Keadilan, pernah didenda RM5000 kerana mengatakan bahawa pihak berkuasa telah meletusan rusuhan anti-kaum Cina pada tahun 1969 berikutan kekalahan dalam pilihanraya tempatan. Sememangnya, kerajaan Barisan Nasional menggunakan akta-akta seperti ini untuk mengukuhkan kedudukan mereka pada tangga kuasa, dan melemahkan sesiapa yang mengancam kedudukan mereka.

pada masa yang sama, pekerja-pekerja dalam perkhidmatan awam perlu membuat sumpah kesetiaan, iaitu sumpah ‘Akujanji,’ kepada raja, negara dan kerajaan (bagaimana pula jika mereka tidak menyokong raja, negara atau kerajaan Barisan Nasional?). Ahli-ahli akademi dan pelajar-pelajar universiti juga perlu membuat sumpah yang sama, di bawah mana seseorang perlu menurut setiap arahan kerajaan, biarpun arahan yang sudah wujud atau yang bakal diluluskan. Sesiapa yang memungkiri sumpah ini dapat diberi amaran agar tidak “mengancam kestabilan perkhidmatan awam,” dipindahkan ke tempat bekerja yang lain atau dipecat sama sekali, seperti yang telah berlaku kepada lebih lima puluh pensyarah universiti pada tahun 2001.


Menuju hak demokratik


dalam usaha mempertahankan hak-hak demokratik rakyat Malaysia, dan berhadapan dengan penggunaan ISA untuk mendiamkan aktiviti politik, beberapa kumpulan hak asasi seperti Aliran, Hakam dan Suaram telah membentukkan sebuah pertubuhan payung bernama AIM (Gerakan Mansuhkan ISA atau Abolish ISA Movement). Pada masa yang sama, media alternatif di Malaysia terus memainkan peranan penting sebagai sumber maklumat mengenai pencabulan hak asasi manusia dan perkembangan-perkembangan serupa. Namun, gerakan-gerakan seperti ini hanyalah permulaan. Di hati masalah ini terletak pelbagai isu asas, seperti apa yang dimaksudkan oleh demokrasi, siapakah akan mencapai hak-hak demokratik itu, dan dengan cara apakah ia akan dicapai.


ia tidak dapat dinafikan bahawa majoriti rakyat di Malaysia menentang penggunaan akta-akta kejam seperti ISA. Tetapi apakah balasan kerajaan Barisan Nasional? Ia menyerang sesiapa yang berani bersuara, dan menakutkan sesiapa yang ingin bersuara. Mengapa? Bukankah rakyat yang telah melantik kerajaan ini semasa pilihanraya? Jika kita yang melantik kerajaan ini, maka bukankah juga kita yang menguasainya? Di sinilah terletaknya masalah asasnya. Setiap lima tahun, kita menikmati rasa kuasa sementara dengan membubuhkan tanda pada kertas undi, iaitu untuk melantik seorang ahli parlimen (jika kita bernasib baik, hasil pengundian itu tidak akan dipalsukan, seperti yang telah didedahkan dalam pilihanraya di Sabah). Tetapi adakah ahli-ahli parlimen itu bertanggungjawab kepada rakyat yang melantik mereka? Imbasan keadaan politik di Malaysia akan memberikan jawapan yang jelas – tidak.

hak kita sebagai warganegara Malaysia dicabuli oleh usaha-usaha kerajaan. misalnya, kita tidak dibenarkan berdemonstrasi untuk menuntut hak-hak asasi, kita tidak dapat menubuhkan kesatuan pekerja yang bebas, kita tidak dibenarkan bersuara atau mengadakan mesyuarat awam dengan bebas, kita tidak dapat mengatur aksi permogokan tanpa serangan kerajaan jika mengalami keadaan bekerja yang melarat, dan seperti yang dirasai oleh Parti Sosialis Malaysia baru-baru ini, kita tidak dibenarkan menubuhkan parti rakyat dengen bebas. tetapi terdapat isu yang lebih asas daripada ini lagi. Misalnya, adakah anda dibenarkan melantik pengurus atau penyelia anda di tempat bekerja? Mereka ini mengambil keputusan-keputusan yang mempunyai kesan pada kehidupan kita, tetapi kita tidak dibenarkan walau sedikit pun hak demokratik, terutama sekali di tempat bekerja.

dari segi politik, Malaysia pada hari ini mengalami keadaan-keadaan yang tidak jauh berbeza dengan Rusia di bawah pemerintahan Tsar pada awal abad ke-20. hak-hak asasi rakyat dicabuli, dan aktivis-aktivis sosial terpaksa beratur dengan sulit. Tetapi ini telah berubah dengan penumbangan Tsar oleh revolusi pekerja pada tahun 1905. Selepas revolusi itu, salah seorang tokoh sosialis bernama Leon Trotsky telah memperkembangkan teori ‘revolusi berterusan.’ Teori itu menyatakan bahawa sesuatu dunia yang lebih adil hanya dapat dicapai melalui perjuangan demi sosialisme – tetapi lebih daripada itu, perjuangan demi sosialisme tidak dapat dan tidak patut dipisahkan daripada perjuangan demi demokrasi. dalam erti kata lain, dalam mengambil langkah-langkah menuju sosialisme, para pekerja juga akan mengambil langkah untuk meninggalkan pencabulan hak asasi dan mencapai hak-hak demokratik.

sememangnya, Malaysia pada hari ini mempunyai perbezaan dengan Rusia selepas tahun 1905. Kelas pekerja di Malaysia adalah jauh lebih besar daripada di Rusia pada masa tersebut. Tetapi apakah makna ini bagi rakyat Malaysia pada hari ini? dari sudut pandangan sosialis, hak-hak demokratik seperti yang dibincangkan di atas tidak dapat ‘dihadiahkan’ dari luar atau dari atas. dalam erti kata lain, ia tidak mencukupi untuk ahli-ahli politik memenangi hak-hak itu bagi rakyat. dalam kata-kata Karl Marx, pembebasan kelas pekerja mestilah menjadi usaha kelas pekerja sendiri. Iaitu, hak-hak demokratik (dan perjuangan demi sosialisme) perlulah diperjuangkan oleh rakyat sendiri, dan lebih khusus lagi, oleh golongan rakyat yang menciptakan segala kekayaan dalam masyarakat, iaitu kelas pekerja.

dari segi, reformasi undang-undang yang masih berteraskan pemerintahan parlimen dan sistem kapitalis tidak akan mengubah masalah asas. Apakah gunanya pemansuhan ISA jika kehidupan kita di tempat bekerja masih menyerupai penindasan oleh diktator? Ini bukanlah sama dengan mengatakan bahawa pihak sosialis tidak menyokong usaha-usaha untuk membasmi akta-akta yang ketinggalan zaman. Sebaliknya, pihak sosialis memperdebatkan bahaa demokrasi sebenar terletak dalam tangan berjuta-juta pekerja yang berpusat di tempat-tempat bekerja – di kilang-kilang, pejabat-pejabat, sekolah dan universiti.

bayangkanlah jika anda dan rakan-rakan anda di tempat bekerja membentukkan sebuah majlis pekerja, yang melantik seorang wakil ke majlis pekerja perbandaran (dan majlis pekerja perbandaran itu melantik wakil ke majlis pekerja daerah, dan seterusnya). Wakil itu dapat dipanggil balik pada bila-bila masa (bukannya setiap lima tahun jika kita bernasib baik), dan dia tidak menikmati kehidupan yang istimewa – sebaliknya, mereka berkongsi kehidupan yang sama dengan para pekerja yang mereka mewakili. Dalam erti kata lain, mereka benar-benar adalah bertanggungjawab kepada golongan yang melantik mereka. Inilah yang dimaksudkan oleh pihak sosialis apabila mereka berucap mengenai “demokrasi dari bawah.”

dan inilah yang diperjuangkan oleh pihak sosialis, kerana perjuangan demi sosialisme tidak dapat dipisahkan daripada perjuangan demi demokrasi tulin. Pemansuhkan akta-akta seperti ISA hanya dapat dicapai oleh usaha rakyat sendiri, dan perjuangan dari bawah ini melibatkan pembebasan demokrasi dari bawah dan perjuangan demi sosialisme.