Thursday, September 2, 2010

Sosialisme Untuk Malaysia


Pada asasnya sosialisme adalah satu bentuk sistem pemerintahan yang merangkumi semua peringkat pentadbiran yang berteraskan hak sama rata (equality) yang ciri-ciri utamanya ialah demokrasi, kebebasan dan keadilan.

dalam konteks Malaysia, sosialisme mampu untuk mengimbangi semula kacau-bilau yang dicetuskan oleh dasar kapitalisme – dasar yang membolehkan golongan kaya menjadi semakin mewah manakala golongan miskin terus menderita – yang dikecohkan lagi dengan dasar mengutamakan satu kaum dalam semua bidang.

pada dasarnya, diskriminasi positif adalah sesuatu yang selaras dengan prinsip sosialisme di Malaysia. Tetapi satu-satu kaum tidak harus ditonjolkan atas alasan mahu mencapai taraf sama rata dengan kaum-kaum yang lain.

penyelesaian melalui sosialisme ialah dengan mengutamakan keperluan golongan miskin dan tidak berupaya seperti orang cacat, orang sakit, kanak-kanak dan orang tua.

dasar diskriminasi positif yang memberi keutamaan kepada golongan yang ketinggalan dalam pelbagai bidang adalah asas perjuangan sosialisme di Malaysia.

dalam kehidupan sosial, sosialisme di Malaysia perlu memastikan sekularisme (pemisahan di antara agama dan kerajaan) wujud dalam masyarakat yang benar-benar demokratik.

sosialisme yang menolak ketuanan mana-mana kaum di Malaysia turut tidak dapat menerima penguasaan (domination) mana-mana agama di negara ini.

ini untuk mengelakkan agama-agama dan kepercayaan lain serta penganut-penganut mereka menjadi warga kelas dua.

untuk mewujudkan keadilan yang berteraskan hak sama rata, sekularisme menjadi pilihan sosialis di Malaysia.

dalam hal ini, sekularisme yang diperlukan ialah dasar dan pelaksanaan yang memastikan tidak ada mana-mana agama yang menguasai kerajaan dan pihak berkuasa, dan sebaliknya, iaitu tidak ada kerajaan dan pihak berkuasa yang menguasai mana-mana agama.

kebebasan beragama dalam apa jua bentuk serta pemilihan untuk menganut atau menukar agama adalah hak mutlak setiap rakyat. Tidak ada sesiapa atau mana-mana undang-undang boleh menyekat hak asasi ini.

hak-hak beragama juga termasuk hak membina rumah ibadat, menjalankan upacara agama dan apa-apa kegiatan agama tanpa gangguan dari mana-mana pihak, termasuk kerajaan dan pihak berkuasa.

sosialisme di Malaysia harus wujud dalam keadaan di mana majoriti rakyat memilih untuk menerima hak sama rata dan sekularisme, bagi memastikan setiap rakyat bebas mengamalkan hak dan menunaikan tanggungjawab sosial. Ini adalah asas demokrasi yang dijamin di bawah sosialisme.

dari sini juga, kebebasan dan keadilan dapat dilaksanakan sepenuhnya. Hanya sikap terbuka dan kesanggupan untuk melaksanakan reformasi diri dan minda dapat membolehkan rakyat Malaysia menerima sosialisme sebagai sistem pemerintahan negara.

selagi fikiran dan hati masih dibelenggu oleh sikap perkauman dan keagamaan yang sempit, selagi itu Malaysia akan terus menjadi negara yang sentiasa diancam bom jangka rusuhan kaum atau agama yang boleh menghancurkan masyarakat dan negara.

sosialisme adalah keadilan, dan keadilan hanya wujud apabila ada hak sama rata. Jika satu kaum atau agama menganggap dirinya sebagai yang terbaik dari yang lain dan mahu kaum dan agama lain tunduk di bawahnya, selagi itu tidak akan wujud hak sama rata, dan mustahil untuk sesiapa sahaja berlaku adil.

dalam hal ini, sosialisme di Malaysia hanya boleh wujud jika ada persefahaman dan kerjasama antara rakyat tanpa mengira kaum, agama dan adat budaya, dan parti atau fahaman politik yang wujud pada masa ini. Ini adalah kerana parti-parti dan fahaman-fahaman politik yang ada hari ini terlalu mirip kepada kaum dan agama, menyebabkan sukar untuk duduk sama rata dan berbincang sebagai insan yang sama taraf.

persefahaman dan kerjasama antara rakyat akan menjadi asas perpaduan negara, iaitu sebagai dasar untuk membentuk nasionalisme Malaysia yang tulen.

diimbas kembali, sosialisme di Malaysia adalah demokrasi, hak sama rata, hak rakyat miskin dan ketinggalan, kebebasan, sekularisme dan nasionalisme.

sosialisme di Malaysia mesti menolak perkauman, keagamaan yang sempit dan sikap buruk seperti salahguna kuasa, rasuah, penyelewengan dan pilih kasih, kerana semua gejala-gejala ini adalah penghalang kepada kehidupan yang bersih, sejahtera dan adil.

No comments:

Post a Comment