Friday, September 3, 2010

Akta Keselamatan Dalam Negeri (I.S.A) & Demokrasi.

Sebut sahaja perkataan ‘demokrasi’ dan ‘Malaysia’ dalam ayat yang sama, dan anda sudah pasti akan dihadapkan dengan isu Akta Keselamatan Dalam Negeri, yang lebih dikenali dengan namanya dalam Bahasa Inggeris, iaitu Internal Security Act (ISA). Tetapi apakah sebenarnya ISA, mengapakah ia dikatakan bertentangan dengan hak demokratik, dan apakah isu-isu yang menggarisi pengamalannya di Malaysia? Sememangnya,bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad telah menggunakan serangan-serangan pengganas di Amerika Syarikat pada 11hb September 2001 dan kegiatan pengganas yang lain untuk memunasabahkan pengamalan akta tersebut di Malaysia. Berhadapan dengan ini, ia menjadi sangat penting untuk memahami topik ini dengan terperinci.

pada dasarnya, ISA merupakan sesuatu akta drakonian lagi ketinggalan zaman yang sudah lama digunakan untuk “menutup kepincangan diri,” dalam kata-kata Nashir Hashim. Ia merupakan akta pencegah yang diluluskan pada awal tahun 1960-an, semasa zaman Kecemasan, sebagai cara sementara untuk mendiamkan pergolakan sosial dan kebangkitan pihak Komunis. Di bawah akta ini, pihak polis dapat menaham sesiapa selama 60 hari, tanpa waran tahanan dan tanpa keperluan orang itu dihadapkan dengan makhamah. Selepas tamatnya tempoh 60 hari itu, Menteri Dalam Negera dapat melanjutkan tempoh tahanan sehingga 2 tahun, tanpa memberikan apa-apa bukti kepada makhamah, dan ini dapat dilanjutkan lagi tanpa akhir. Sememangnya, akta ini sudah lama digunakan untuk mendiamkan tentangan terhadap kerajaan dan untuk mencabuli hak-hak asasi rakyat seperti hak berbicara, kebebasan daripada pemenjaraan rambang, dan hak berkumpul.

maka, tidak hairanlah bahawa akta ini seringkali menjadi sasaran kepada kritikan oleh kumpulan-kumpulan hak asasi manusia, biarpun di dalam atau di luar negara. Mengapa? Jawapannya sebenarnya bukan susah difahami – ISA mencabuli hak-hak asasi manusia, seperti yang dipertahankan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa bersatu. Pada tahun 2001, ISA juga telah dikutuk oleh laporan Human Rights Watch, iaitu penjamin hak asasi yang dihormati oleh masyarakat antarabangsa. Namun, pada masa yang sama, Mahathir telah mempertahankan penggunaan ISA, dengan alasan bahawa ia digunakan untuk menentang kumpulan-kumpulan pemberontak yang menentang keselamatan negara. Menurut Mahathir, demokrasi penuh tidak dapat berakar di Malaysia kerana rakyat akan berkelakuan ‘seperti monyet mendapat bunga’ – monyet itu tidak dapat menghargai bunga dan akan merosakkannya.

namun, retorik seperti ini – sebagaimana dengan retorik ‘nilai-nilai Asia’ – sudah lama berkumandang, dan kelemahan-kelemahannya dapat dilihat dengan jelas. Misalnya, mengapakah ISA seringkali juga digunakan untuk mendiamkan pembangkang politik, agama atau sosial? Jawapan kepada soalan ini akan menjadi jelas apabila kita mengkaji penggunaan ISA dengan lebih terperinci.

Menutup kepincangan diri

lebih kurang enam puluh tahun yang lalu, apabila Akta Keselamatan Dalam Negeri diluluskan, ia sebenarnya tertakluk kepada kajian semula makhamah. Namun, sejak itu, akta ini telah dipinda lebih 20 kali, dan tidak lagi perlu dipertimbangkan semula oleh makhamah. Dalam erti kata lain, kuasa mutlak telah diberikan kepada Kementerian Dalam Negera untuk menahan sesiapa yang dikatakan ‘mengancam keselamatan negara,’ tanpa rujukan kepada makhamah, tanpa rujukan kepada undang-undang antarabangsa.

kepalsuan alasan bahawa akta ini digunakan untuk menjaga keselamatan negara dapat dilihat jika kita mengkaji siapa yang ditahan di bawah akta ini. Sememangnya, segelintir daripada mereka ini merupakan ahli-ahli kumpulan pengganas. Namun, perkataan penting di sini adalah ‘segelintir.’ Majoriti besar daripada tahanan ISA merupakan mereka yang menentang politik pihak berkuasa, seperti pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli parti pembangkang, ahli-ahli akademi, ahli-ahli kesatuan pekerja, serta aktivis sosial, aktivis alam semulajadi dan aktivis hak perempuan.
kes tahanan bekas Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim di bawah ISA memang dikenali ramai – ISA telah digunakan untuk memenjarakan Anwar dan penyokong-penyokongnya semasa kebangkitan gerakan reformasi pada tahun 1997-1998 – tetapi akta ini juga telah digunakan untuk menindas rakyat lain yang menentang Mahathir. Misalnya, pada tahun 1990, beberapa ahli politik dari sebuah parti pembangkang di Sabah, iaitu Parti Bersatu Sabah (PBS), telah ditahan di bawah ISA kerana PBS dilihat sebagai cabaran utama kepada kemenangan Barisan Nasional dalam pilihanraya negeri itu. Akta ini juga pernah digunakan untuk menindas penganut agama yang bertentangan dengan agama ortodoks kerajaan –penganut-penganut agama Islam Shia merupakan satu contoh.
pada tahun 2001, ISA telah digunakan untuk melemahkan sebuah parti pembangkang, Keadilan, sebelum ulangtahun kedua pemenjaraan Anwar. Beberapa ahli parti tersebut, termasuk Timbalan Presiden Keadilan Tian Chua, dan seorang aktivis sosial, Hishamuddin Rais, ditahan di bawah akta itu. Pihak berkuasa telah mendakwa behawa sepuluh aktivis yang ditahan itu sedang berancang untuk menumbangkan kerajaan, walaupun tidak terdapatnya bukti untuk menyokong dakwaan ini. Pada bulan Julai dalam tahun yang sama, pihak berkuasa telah menahan dua orang aktivis pelajar, iaitu Khairul Anuar Ahmad Zainuddin dan Mohamad Fuad Mohamad Ikhwan, di bawah ISA. Parti-parti pembangkang yang lain juga telah menjadi sasaran kerajaan Barisan Nasional. Misalnya, pada bulan Ogos 2001, sepuluh orang yang berkaitan dengan atau menyokong Parti Se-Islam Malaysia (PAS) telah ditahan kerana dikatakan merupakan sebuah ‘kumpulan pengganas.’ Salah seorang daripada mereka merupakan Nik Adli Nik Aziz, anak kepada seorang pemimpin PAS.
beberapa hari selepas serangan 11hb September di Amerika Syarikat, Timbalan Perdana Menteri Abdullah Badawi telah memunabahkan kegunaan ISA sebagai “tindakan pencegah.” Beberapa minggu selepas itu, beberapa ahli ‘Kumpulan Mujahadin Malaysia’ atau KMM telah ditahan di bawah akta tersebut. PAS telah mendakwa bahawa tindakan tersebut merupakan ‘usaha politik’ dan mereka yang ditahan itu tidak dikaitkan dengan apa-apa bukti yang kukuh. Serangan-serangan ke atas demokrasi rakyat masih berterusan sehingga hari ini, dan telah mendadak dengan serangan-serangan pengganas di Indonesia dan Filipina baru-baru ini.
ISA bukan sahaja bercanggah dengan hak asasi manusia – malah, kumpulan-kumpulan seperti Amnesty International pernah mendakwa bahawa banduan-banduan di bawah ISA seringkali tertakluk kepada penyeksaan fizikal dan psikologi, termasuk serangan fizikal, ancaman terhadap ahli-ahli keluarga dan kekurangan masa rehat. Misalnya, semasa kes makhamah Anwar, pihak polis telah mengaku bahawa proses mendapat ‘pengakuan’ daripada banduan-banduan dengan pemaksaan merupakan perkara yang biasa.

Akta-akta penindasan yang lain


di samping Akta Keselamatan Dalam Negeri, kerajaan Barisan Nasional juga telah menggunakan akta-akta yang lain untuk menindas aktiviti politik damai, kebebasan akhbar dan kebebasan akademik. Misalnya, Akta Cetakan dan Penerbitan (Printing Presses and Publications Act) memerlukan kesemua penerbitan mendapat lesen cetakan tahunan, yang dapat ditarik balik tanpa sebab. Penerbitan-penerbitan luar negara tertakluk kepada penapisan tegas oleh Kementerian Dalam Negara, dan mana-mana terbitan yang dipercayai mengambil pendirian yang terlalu kritikal terhadap kerajaan dapat diharamkan sepenuhnya, secara yang berlaku dengan majalah Far Eastern Economic Review pada tahun 2001. Majalah Asiaweek juga mengalami takdir yang sama, kerana Mahathir mengatakan bahawa gambarnya dalam edisi majalah itu membuatnya kelihatan seperti “orang bodoh.” Maka, tidak menghairankan juga bahawa hampir kesemua akhbar aliran utama berada di bawah kawalan secara langsung parti-parti Barisan Nasional atau sekutu-sekutu Mahathir.


mereka yang menyokong akta-akta seperti ini seringkali mengatakan bahawa alam Internet tidak tertakluk kepada apa-apa penapisan atau cengkaman oleh kerajaan, dan maka menunjukkan kesetiaan kerajaan kepada hak-hak demokratik. kenyataan ini jelasnya adalah silap jika kita mengkaji usaha kerajaan untuk mendiamkan satu laman web, iaitu Malaysiakini. Semasa krisis ekonomi pada tahun 1997, pihak berkuasa telah mendakwa bahawa Malaysiakini telah menerima pembiayaan dari unsur-unsur luar negara, seperti George Soros (yang Mahathir berkata adalah bertanggungjawab bagi krisis ekonomi itu), tetapi dakwaan itu tidak pernah dibuktikan. Sepanjang tahun itu, laman web Malaysiakini diancam oleh dakwaan-dakwaan serupa, dan dikatakan akan dihadapkan dengan makhamah jika menerbitkan apa-apa rencana yang “mengancam ketenteraman negara.”

tetapi siapakah yang menentukan apa yang ‘mengancam ketenteraman negara’? Jawapannya adalah jelas jika kita melihat bahawa Marina Yusoff, bekas Timbalan Presiden Keadilan, pernah didenda RM5000 kerana mengatakan bahawa pihak berkuasa telah meletusan rusuhan anti-kaum Cina pada tahun 1969 berikutan kekalahan dalam pilihanraya tempatan. Sememangnya, kerajaan Barisan Nasional menggunakan akta-akta seperti ini untuk mengukuhkan kedudukan mereka pada tangga kuasa, dan melemahkan sesiapa yang mengancam kedudukan mereka.

pada masa yang sama, pekerja-pekerja dalam perkhidmatan awam perlu membuat sumpah kesetiaan, iaitu sumpah ‘Akujanji,’ kepada raja, negara dan kerajaan (bagaimana pula jika mereka tidak menyokong raja, negara atau kerajaan Barisan Nasional?). Ahli-ahli akademi dan pelajar-pelajar universiti juga perlu membuat sumpah yang sama, di bawah mana seseorang perlu menurut setiap arahan kerajaan, biarpun arahan yang sudah wujud atau yang bakal diluluskan. Sesiapa yang memungkiri sumpah ini dapat diberi amaran agar tidak “mengancam kestabilan perkhidmatan awam,” dipindahkan ke tempat bekerja yang lain atau dipecat sama sekali, seperti yang telah berlaku kepada lebih lima puluh pensyarah universiti pada tahun 2001.


Menuju hak demokratik


dalam usaha mempertahankan hak-hak demokratik rakyat Malaysia, dan berhadapan dengan penggunaan ISA untuk mendiamkan aktiviti politik, beberapa kumpulan hak asasi seperti Aliran, Hakam dan Suaram telah membentukkan sebuah pertubuhan payung bernama AIM (Gerakan Mansuhkan ISA atau Abolish ISA Movement). Pada masa yang sama, media alternatif di Malaysia terus memainkan peranan penting sebagai sumber maklumat mengenai pencabulan hak asasi manusia dan perkembangan-perkembangan serupa. Namun, gerakan-gerakan seperti ini hanyalah permulaan. Di hati masalah ini terletak pelbagai isu asas, seperti apa yang dimaksudkan oleh demokrasi, siapakah akan mencapai hak-hak demokratik itu, dan dengan cara apakah ia akan dicapai.


ia tidak dapat dinafikan bahawa majoriti rakyat di Malaysia menentang penggunaan akta-akta kejam seperti ISA. Tetapi apakah balasan kerajaan Barisan Nasional? Ia menyerang sesiapa yang berani bersuara, dan menakutkan sesiapa yang ingin bersuara. Mengapa? Bukankah rakyat yang telah melantik kerajaan ini semasa pilihanraya? Jika kita yang melantik kerajaan ini, maka bukankah juga kita yang menguasainya? Di sinilah terletaknya masalah asasnya. Setiap lima tahun, kita menikmati rasa kuasa sementara dengan membubuhkan tanda pada kertas undi, iaitu untuk melantik seorang ahli parlimen (jika kita bernasib baik, hasil pengundian itu tidak akan dipalsukan, seperti yang telah didedahkan dalam pilihanraya di Sabah). Tetapi adakah ahli-ahli parlimen itu bertanggungjawab kepada rakyat yang melantik mereka? Imbasan keadaan politik di Malaysia akan memberikan jawapan yang jelas – tidak.

hak kita sebagai warganegara Malaysia dicabuli oleh usaha-usaha kerajaan. misalnya, kita tidak dibenarkan berdemonstrasi untuk menuntut hak-hak asasi, kita tidak dapat menubuhkan kesatuan pekerja yang bebas, kita tidak dibenarkan bersuara atau mengadakan mesyuarat awam dengan bebas, kita tidak dapat mengatur aksi permogokan tanpa serangan kerajaan jika mengalami keadaan bekerja yang melarat, dan seperti yang dirasai oleh Parti Sosialis Malaysia baru-baru ini, kita tidak dibenarkan menubuhkan parti rakyat dengen bebas. tetapi terdapat isu yang lebih asas daripada ini lagi. Misalnya, adakah anda dibenarkan melantik pengurus atau penyelia anda di tempat bekerja? Mereka ini mengambil keputusan-keputusan yang mempunyai kesan pada kehidupan kita, tetapi kita tidak dibenarkan walau sedikit pun hak demokratik, terutama sekali di tempat bekerja.

dari segi politik, Malaysia pada hari ini mengalami keadaan-keadaan yang tidak jauh berbeza dengan Rusia di bawah pemerintahan Tsar pada awal abad ke-20. hak-hak asasi rakyat dicabuli, dan aktivis-aktivis sosial terpaksa beratur dengan sulit. Tetapi ini telah berubah dengan penumbangan Tsar oleh revolusi pekerja pada tahun 1905. Selepas revolusi itu, salah seorang tokoh sosialis bernama Leon Trotsky telah memperkembangkan teori ‘revolusi berterusan.’ Teori itu menyatakan bahawa sesuatu dunia yang lebih adil hanya dapat dicapai melalui perjuangan demi sosialisme – tetapi lebih daripada itu, perjuangan demi sosialisme tidak dapat dan tidak patut dipisahkan daripada perjuangan demi demokrasi. dalam erti kata lain, dalam mengambil langkah-langkah menuju sosialisme, para pekerja juga akan mengambil langkah untuk meninggalkan pencabulan hak asasi dan mencapai hak-hak demokratik.

sememangnya, Malaysia pada hari ini mempunyai perbezaan dengan Rusia selepas tahun 1905. Kelas pekerja di Malaysia adalah jauh lebih besar daripada di Rusia pada masa tersebut. Tetapi apakah makna ini bagi rakyat Malaysia pada hari ini? dari sudut pandangan sosialis, hak-hak demokratik seperti yang dibincangkan di atas tidak dapat ‘dihadiahkan’ dari luar atau dari atas. dalam erti kata lain, ia tidak mencukupi untuk ahli-ahli politik memenangi hak-hak itu bagi rakyat. dalam kata-kata Karl Marx, pembebasan kelas pekerja mestilah menjadi usaha kelas pekerja sendiri. Iaitu, hak-hak demokratik (dan perjuangan demi sosialisme) perlulah diperjuangkan oleh rakyat sendiri, dan lebih khusus lagi, oleh golongan rakyat yang menciptakan segala kekayaan dalam masyarakat, iaitu kelas pekerja.

dari segi, reformasi undang-undang yang masih berteraskan pemerintahan parlimen dan sistem kapitalis tidak akan mengubah masalah asas. Apakah gunanya pemansuhan ISA jika kehidupan kita di tempat bekerja masih menyerupai penindasan oleh diktator? Ini bukanlah sama dengan mengatakan bahawa pihak sosialis tidak menyokong usaha-usaha untuk membasmi akta-akta yang ketinggalan zaman. Sebaliknya, pihak sosialis memperdebatkan bahaa demokrasi sebenar terletak dalam tangan berjuta-juta pekerja yang berpusat di tempat-tempat bekerja – di kilang-kilang, pejabat-pejabat, sekolah dan universiti.

bayangkanlah jika anda dan rakan-rakan anda di tempat bekerja membentukkan sebuah majlis pekerja, yang melantik seorang wakil ke majlis pekerja perbandaran (dan majlis pekerja perbandaran itu melantik wakil ke majlis pekerja daerah, dan seterusnya). Wakil itu dapat dipanggil balik pada bila-bila masa (bukannya setiap lima tahun jika kita bernasib baik), dan dia tidak menikmati kehidupan yang istimewa – sebaliknya, mereka berkongsi kehidupan yang sama dengan para pekerja yang mereka mewakili. Dalam erti kata lain, mereka benar-benar adalah bertanggungjawab kepada golongan yang melantik mereka. Inilah yang dimaksudkan oleh pihak sosialis apabila mereka berucap mengenai “demokrasi dari bawah.”

dan inilah yang diperjuangkan oleh pihak sosialis, kerana perjuangan demi sosialisme tidak dapat dipisahkan daripada perjuangan demi demokrasi tulin. Pemansuhkan akta-akta seperti ISA hanya dapat dicapai oleh usaha rakyat sendiri, dan perjuangan dari bawah ini melibatkan pembebasan demokrasi dari bawah dan perjuangan demi sosialisme.

No comments:

Post a Comment