SUARAM mengutuk dan mengkritik terhadap tindakan kekerasan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dikenakan terhadap 3 orang aktivis yang telah ditangkap kerana menghadiri upacara pelancaran kempen PROTES DI Kampung Kerinchi pada 530 petang hari ini.
Antara aktivis yang ditangkap adalah Tah Moon Hui, penyelaras dari badan Hak Asasi Manusia iaitu SUARAM dan pembantu kepada YB Tian Chua,Rozam Azen bersama kawannya yang bernama Fareez Kamal .Mereka ditahan oleh polis akibat dikatakan tidak memberi kerjasama dengan polis padahal mereka hanya menolak permintaan polis untuk membuka sebuah kereta yang bukan dimiliki oleh mereka.
Tindakan polis adalah tidak munasabah dan pihak polis telah menyalahgunakan kuasa untuk menangkap sesiapa sahaja walaupun mereka tidak melakukan pekara yang melanggari undang-undang. Upacara pelancaran kempen PROTES adalah dijalankan secara aman dan ia merupakan hak dan kebebasan rakyat untuk menyuarakan ketidakpuasan terhadap polisi kerajaan melalui cara keamanan.
Tujuan Kempen PROTES adalah untuk membantah kenaikan harga barangan keperluan awam yang dikatakan akan mempengaruhi kehidupan golongan miskin .Tindakan polis sedemikian jelas menunjukkan polis telah dipergunakan oleh kerajaan pemerintahan iaitu Barisan Nasional untuk menindas terhadap rakyat yang ingin mengkritik atau membantahkan polisinya yang kurang memanfaatkan rakyat.
SUARAM berpendirian bahawa isu penyalahgunaan kuasa polis amat ketara sekian hari dan hal ini jelas menunjukkan keperluan untuk mewujudkan mekanisme yang bersifat telus dan adil untuk memantau polis. Hal ini penting untuk melindungi dan menjamin hak rakyat seperti yang termaktub dalam perlembagaan persekutuan.
Akhir kata, keengganan kerajaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dengan segera akan meningkatkan kes-kes penyalahgunaan kuasa polis yang secara langsung menambahkan kemarahan dan kekecewaan rakyat jelata terhadap Polis Diraja Malaysia dan Kerajaan Barisan Nasional.
SUARAM menggesa kerajaan untuk segera melepaskan aktivis yang ditahan dan henti menggunakan kuasa Polis untuk agenda politik sendiri dengan mencabuli hak rakyat .
No comments:
Post a Comment